Kerja Dari Rumah Dah Jadi Satu Trend

Saranan Jabatan Kerja Raya melaksanakan kaedah kerja dari rumah atau telekerja yang melibatkan seramai 35 orang pelukis pelan JKR telah direalisasikan pada Januari tahun ini.

Projek perintis ini dijalankan bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan untuk mengurangkan kos pengangkutan.

Metode bekerja dari rumah ini merupakan satu inisiatif terbaru oleh JKR sejajar dengan perubahan dan trend semasa.

Kaedah ini telah dilaksanakan di negara-negara maju namun ia masih lagi baru di Malaysia. Kerja dari rumah ini merupakan salah satu dari beberapa kaedah yang diwujudkan bertujuan untuk memberi masa kerja yang fleksibel.

Selari dengan perubahan dan perkembangan teknologi masa kini, khususnya online, beberapa bentuk kerja fleksibel telahpun dilaksanakan di beberapa negara maju antaranya masa kerja fleksibel, pejabat maya dan perkongsian kerja.

Disebabkan kaedah bekerja dari rumah masih baru di Malaysia, kebimbangan yang dizahirkan oleh beberapa pihak seperti Yayasan Kerjaya Malaysia dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia sememangnya berasas.

Aspek seperti perubahan suasana kerja, disiplin kerja, penerimaan kakitangan terlibat dan kos-kos yang terlibat wajar ditangani dan diperhalusi.

Jawatankuasa pemantau yang ditubuhkan dilihat mampu memastikan metode kerja dari rumah bermula dan berjalan dengan baik serta sempurna.

Organisasi yang merancang untuk memperkenalkan sistem kerja fleksibel seperti kerja dari rumah perlu memahami tujuan pelaksanaannya serta bagaimana perubahan yang bakal berlaku boleh membantu organisasi dan sejauh mana ia mampu untuk meningkatkan kepuasan dan kualiti kerja.

Pekerja juga seharusnya memahami matlamat kerja anjal tersebut.

Perlaksanaan kerja dari rumah juga tentunya memerlukan organisasi menyediakan segala kemudahan IT dan teknologi maklumat serta komunikasi terutamanya kebolehcapaian kemudahan Internet kepada pekerja yang terlibat.

Begitu juga dengan sistem sokongan, alat tulis dan kemudahan teknologi maklumat.

Perlaksanaan cara bekerja baru ini mestilah berpandukan kepada prosedur-prosedur yang jelas supaya matlamat sesuatu tugas itu dapat dicapai sepenuhnya.

Kaedah kerja dari rumah juga menunjukkan bahawa KKR bersedia untuk menaruh kepercayaan terhadap sekumpulan pekerja mereka yang patut diteladani oleh organisasi-organisasi lain.

Beberapa perubahan yang berlaku pada hari ini seharusnya membuatkan kita bersedia untuk mengubah cara berfikir dan paradigma kita.

Kemungkinan dalam masa 10-15 tahun akan datang, kita seharusnya bersedia untuk menerima hakikat yang prestasi dan komitmen pekerja bukan hanya bergantung kepada kehadiran mereka di pejabat.

Penggunaan cara bekerja dari rumah juga bukan sekadar untuk menjaga alam sekitar sahaja. Ia mampu meningkatkan dan menambah baik kecekapan organisasi serta strategi untuk bertindak balas terhadap perubahan dan cabaran.