4000 Orang Mengikuti Program Bekerja Di Rumah

Sebanyak 4000 orang telah mengikuti program bekerja di rumah yang di perkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada Okt 2008 – 30 Nov 2011.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, Selangor adalah negeri yang mempunyai bilangan peserta terbanyak dengan 1,185 peserta diikuti Melaka (772), Kelantan (771) dan yang paling rendah adalah Kuala Lumpur (4).

Golongan suri rumah adalah antara peserta paling ramai mengikuti program kerja dari rumah itu dengan 3,254 peserta diikuti oleh ibu tunggal (508), keluarga miskin (166) serta orang kurang upaya (121) dengan 223 syarikat telah mengambil bahagian.

Program ini bertujuan untuk membantu para peserta untuk menjana pendapatan tambahan melalui peluang peluang kerja kosong yang ditawarkan oleh syarikat, memandangkan adalah sukar bagi mereka bekerja secara formal atas halangan menguruskan rumah tangga.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang ingin mengetahui jumlah pekerja program kerja di rumah dan program pekerja separa masa mengikut negeri.

Sementara itu, Maznah memberitahu, 12,683 pekerja telah ditempatkan dalam pekerjaan separa masa setakat November ini.

Selangor mempunyai pekerja separa masa teramai iaitu 2,258 orang diikuti Johor (1,841); Pulau Pinang (1,733) dan paling rendah ialah Terengganu dengan 312 orang.

Tujuan kerajaan memperkenalkan peraturan-peraturan kerja (pekerja separa masa) pada 1 Oktober 2010 adalah bagi menarik dan meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan untuk memasuki pasaran buruh, sekali gus menambah pendapatan individu dan isi rumah serta mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing.