Kumpulan Pertama Graduan Terima Diploma Kolej Vokasional

Seramai 2,273 graduan dari 15 kolej vokasional mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi kumpulan pertama menamatkan pengajian dalam bidang kemahiran dan teknikal di peringkat diploma.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, mereka merupakan pelajar yang mema­suki Kolej Vokasional Rintis pada 2010 dan menamatkan pengajian pada November tahun lalu.

Katanya, antara kursus yang diambil graduan tersebut ialah Teknologi Automatif, Teknologi Binaan, Teknologi Elektrik, Teknologi Kimpalan, Teknologi Pemesinan Industri, Seni Bina Landskap dan Mekanisasi Agro.

Yang menariknya, mereka mendapat diploma dalam usia 19 tahun. Sebanyak 72.3 peratus atau 1,643 graduan daripada kumpulan pertama itu juga telah mendapat tawaran pekerjaan da­ri­pada majikan swasta.

Ini satu perkembangan sihat yang meletakkan sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan (TVET) sebagai komponen penting pendidikan di peringkat nasional.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Zainuren Mohd.

Mahdzir berkata, kementerian tersebut berupaya menampung sehingga 78,000 pelajar bidang kemahiran bagi sistem pendidikan vokasional di 80 buah kolej vokasional sedia ada dan tujuh lagi yang dalam pembinaan.

Beliau memberitahu, pihaknya turut merancang untuk menambah kursus baharu yang berse­suaian dengan kehendak pasaran pekerjaan.

Sebagai contoh di Langkawi yang merupakan pusat pelanco­ngan, kursus yang hendak dibuat di sana adalah seperti kulinari, perkhidmatan dan hospitaliti yang ada kaitan dengan hotel.

Begitu juga di Pengerang, Johor yang mempunyai potensi menjadi pusat minyak dan gas dalam beberapa tahun lagi dan kita akan sesuaikan kursus yang ditawarkan dengan kehendak setempat.

Ujarnya, pada tahun depan, dianggarkan kira-kira 14,000 pelajar dari kolej vokasional akan mengikuti latihan sambil bekerja dengan syarikat-syarikat swasta dalam bidang industri bagi menggilap kemahiran mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Terdahulu dalam majlis konvokesyen itu, graduan Teknologi Automotif dari Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, Kelantan, Mohamad Khalid Mustapa dipilih sebagai pelajar terbaik dan menerima Anugerah Emas Menteri Pendidikan.

Dapatkan tips dan info kerjaya melalui aman web coach kerjaya.